WISMAR (Jerman): Bilionair, Tan Sri Lim Kok Thay adalah antara beberapa pelabur yang berminat untuk membeli kapal mewah mega Global Dream yang sedang dibina syarikat pembuat kapal Genting Hong Kong Ltd yang kini muflis, MV Werften, di Jerman.
Beberapa pihak yang serius berminat sedang berunding untuk membeli kapal yang belum siap itu, kata Christoph Morgen, pentadbir insolvensi sementara yang dilantik oleh mahkamah Jerman untuk pembuat kapal itu.
Morgen optimis perjanjian boleh dicapai, tetapi berpendapat ia tidak akan berlaku sebelum bulan depan memandangkan kes itu rumit, katanya pada taklimat di limbungan kapal tertutup di sini, semalam.
Insolvensi sementara MV Werften pada awal Januari terbukti menjadi titik perubahan bagi Genting Hong Kong, yang menjadi pengendali pelayaran terbesar di dunia mendapatkan bantuan mahkamah bagi melindungi asetnya semasa pandemik apabila ia memfailkan petisyen penggulungan beberapa hari kemudian.
Genting melaporkan kerugian terbesar dalam sejarah AS$1.7 bilion pada Mei berikutan pandemik menjejaskan industri pelayaran.
Kok Thay, yang telah meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Hong Kong, menghubungi Morgen untuk menyatakan minat untuk membeli kapal itu pada permulaan proses insolvensi sementara, kata Morgen.
Pentadbir insolvensi itu berkata, beliau berharap untuk mencari 'penyelesaian yang lebih baik untuk kapal itu' berbanding Kok Thay.
"Tanggapan saya ialah dia hanya ingin membelinya jika tiada orang lain yang berminat untuk mendapatkannya pada harga murah dan mungkin untuk menyiapkan kapal itu di tempat lain," kata Morgen, sambil menambah beliau tidak pernah mendengar khabar daripada Kok Thay sejak itu.
"Saya harap kami tidak akan bergantung kepadanya, kerana kami kini mempunyai minat yang kuat daripada ramai pelabur berpotensi lain," katanya.
Kapal 342 meter itu, yang digelar oleh Genting sebagai Global Dream dan yang bakal menjadi kapal terbesar di dunia mengikut kapasiti penumpang, digembar-gemburkan akan memulakan era baharu kapal mega memasuki pasaran pelayaran Asia yang semakin berkembang.
Kapal itu, yang kira-kira 72 peratus siap apabila kerajaan Jerman dan Genting tidak dapat mencapai persetjuan pada Disember lalu mengenai rancangan untuk membiayai AS$620 juta bagi membantu menyiapkannya dan mengekalkan perniagaan limbungan kapal, menurut surat yang ditulis Kok Thay kepada pemiutang.
Jurucakap Genting Bhd, yang diketuai Kok Thay sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, enggan mengulas.
Wakil Genting Hong Kong tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan kenyataan.
Kok Thay masih memegang kira-kira 75 peratus saham dalam Genting Hong Kong dan mengetuai perniagaan Genting lain, walaupun tiada pegangan saham bersilang.
-Bloomberg